Rabu, 26 Januari 2011

~Tambah Kosa Kata~

Assalamualaikum dan selamat sejahtera...
Hari ini, saya telah diminta oleh bekas rakan sebilik saya untuk membantunya mengedit kertas kerja tahun akhirnya. Beliau merupakan seorang guru Sejarah dan kertas kerjanya adalah berkisarkan Dasar Ekonomi Baru(DEB). Banyak perkara yang saya dapat pelajari. Selain itu, saya juga mendapat beberapa input berkenaan pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru. Salah satu perkara yang saya dapat pelajari setelah saya membantu beliau ialah saya dapat menambah kosa kata saya. Antara kosa kata baru yang saya pelajari ialah "teknokrat". Pada mulanya, saya berasa keliru sama ada wujud atau tidak istilah "teknokrat" ini. Hal ini kerana sebelum ini saya hanya pernah mendengar perkataan "aristokrat" sahaja. Setelah saya merujuk kamus eletronik di laman Dewan Bahasa dan Pustaka, barulah saya ketahui bahawa perkataan "teknokrat" ini sememangnya wujud dan membawa makna"pakar teknikal ataupun orang yang mahir dalam bidang teknologi". Istilah kedua ialah "iktisad". Sejujurnya saya tidak pernah mendengar istilah ini sebelum ini. Namun, apabila bekas rakan sebilik saya menggunakan istilah ini di dalam penulisan ilmiahnya, saya tergerak hati untuk mencari makna kepada istilah tersebut. Setelah saya merujuk "Encik Kamus DBP" barulah saya ketahui bahawa "iktisad" ini membawa makna "ekonomi".




Mungkin anda juga tidak pernah mendengar dan menggunakan  istilah ini. Oleh yang demikian, bermula pada hari ini anda bolehlah gunakan istilah ini dalam pertuturan atau penulisan sekiranya didapati sesuai dengan konteks. Janganlah kita berasa malu untuk menggunakan sesuatu yang baru. Jika anda mempunyai kosa kata yang baru, sama-samalah kita berkongsi maklumat dan ilmu. Bak kata pujangga, tidak elok jika kita menyorokkan ilmu kerana ilmu harus kita kongsi bersama-sama agar ianya terus tumbuh segar dalam ingatan...

Sekian,
Wasalam..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan