Khamis, 10 Mac 2011

~Mari kita sama-sama hayati lagu ini~

Salam sejahtera rakan-rakan...

Tahukah anda lagu "SENYUM" yang didendangkan oleh Malique dan Najwa???
Sebenarnya, saya sangat suka lirik yang terdapat dalam lagu ini. Hal ini demikian kerana selain dapat menghiburkan diri kita juga dapat sedikit input tentang isu yang diutarakan iaitu "SENYUM". Dalam lirik lagu ini ada unsur-unsur nasihat yang diselitkan iaitu menyeru orang ramai atau pendengar supaya sentiasa "SENYUM". Klip video untuk lagu ini juga sangat menarik dan menambat hati pendengar dan penonton. http://www.youtube.com/results?search_query=senyum+malique&aq=1
video
Untuk menikmati lagu ini rakan-rakan sekalian bolehlah klik pada pautan di atas...

HAYATILAH LAGU INI...SENYUM-SENYUM SELALU...=)

SEKIAN, WASALAM
MahaniJamari

Rabu, 9 Mac 2011

~Pembentangan tanpa pensyarah~

Assalamualaikum dan salam sejahtera...

Pada hari ini saya ingin berkongsi sedikit cerita tentang perkara yang telah berlaku di dalam kelas pagi tadi. Hari ini merupakan giliran saya untuk membentangkan tugasan individu saya di dalam kelas Semantik dan Pragmatik. Saya berasa amat bertuah kerana saya membentangkan tugasan tanpa kehadiran pensyarah. Hal ini disebabkan pensyarah subjek tersebut yang pergi menyelia pelajar-pelajar yang berpraktikum. Walaupun saya membentang dalam keadaan yang senang hati dan gembira tetapi terdapat sedikit perkara yang saya kesali berkenaan dengan sikap rakan-rakan lain ketika pembentangan dibuat. Ada dalam kalangan mereka yang berbual-bual, ada juga yang sibuk dengan komputer riba masing-masing, ada yang sibuk membuat kerja sendiri dan tidak kurang pula yang lambat masuk ke kelas. Persoalannya di sini, beginikah sikap yang dipamerkan oleh bakal pendidik?

Pada pandangan saya, sebagai seorang bakal pemdidik kita haruslah belajar untuk menghormati orang lain dan juga belajar untuk bersikap jujur dalam apa-apa jua keadaan. Ayuh kita renung-renungkan. =)

Sekian sahaja buat renungan bersama

Wassalam
MAHANI JAMARI

~Belajar sambil berhibur~

Assalamualaikum dan salam sejahtera...
Mendengar lagu retro sambil membuat tugasan. Hati saya sedikit tertarik dengan lirik lagu yang dinyanyikan oleh Kenny Remy Martin yang bertajuk Suratan atau Kebetulan. Liriknya lebih kurang begini bunyinya,

Sesuatu yang tak disangka
Seringkali mendatangi kita
Itukah suratan dalam kehidupan
Atau hanya satu kebetulan

Kita asyik membicarakan
Persoalan hidup dan pilihan
Sedang kejujuran semakin berkurang
Masih tiada bertemu jawapan

Walau kita dihadapkan
Dengan berbagai pilihan
Mengapa sering terjadi
Pilihan tak menepati

Panjang lagi liriknya. Tapi tak perlulah saya nyatakan sampai habis. Apabila saya mendengar lagu ni, secara tak langsung mulut ni pun turut sama menyanyi.

Susunan ayat yang halus dan bersahaja. Lirik lagu era 60-an sememangnya bukan sekadar untuk dijadikan sebagai hiburan tetapi juga mengandungi unsur-unsur nasihat dan pedoman. Jika dibandingkan dengan lirik lagu di abad ke-21 ini, lirik-lirik lagu kebanyakannya lebih berunsurkan cinta dan perasaan. Hal yang demikian, jelas menggambarkan gelagat remaja masa kini yang lebih mementingkan hiburan dan keseronokkan. 

Ini sahaja coretan saya pada hari ini. Tiada sesi pengajaran bahasa Melayu pada hari ini tetapi sekadar satu cerita yang mahu saya kongsikan bersama anda.

Sekian WAssalam


~BUDI BAHASA BUDAYA KITA~



Assalamualaikum dan salam sejahtera,..

Saya berhararap hari ini adalah hari bahagia bagi anda semua...

~Hari ini ada sedikit bingkisan cerita untuk kita renung-renungkan bersama~

Kejadian ini berlaku ketika saya dan teman-teman sekelas mahu mghadiri kuliah di Proton City. Sedang kami menanti, tiba-tiba aku terdengar seorang pelajar lelaki yang duduk berhampiran dengan saya menjerit memarahi pemandu bas. “Woi, cepat la jalan!”. Saya menjangkakan pemandu bas tersebut akan dengar, namun bas masih juga tidak bergerak sehinggalah seorang pelajar lelaki lain tampil ke tempat pemandu bas dan memintanya bergerak ke destinasi kami. Selepas lelaki tersebut meminta dengan berkhemah kepada pemandu supaya mulakan perjalanan, barulah pemandu tersebut memulakan pemanduannya. Pada pandangan saya keadaan ini tidak wajar dilakukan oleh pelajar lelaki yang bersikap kasar terhadap pemandu bas. Walaupun mereka hanya seorang pemandu bas, mereka juga mempunyai hati dan perasaan yang perlu dijaga. Kita seharusnya memahami tugas dan tanggungjawab mereka yang sangat berat. Cuba kita sama-sama bayangkan, sekiranya dalam satu hari tiada langsung pemandu yang ingin bekerja dan membawa pelajar-pelajar ke kelas. Sudah pasti kita akan mengalami kesukaran untuk bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain.

Oleh yang demikian, moralnya di sini janganlah kita menggertak orang sesuka hati kita sahaja kerana kita perlu juga memikirkan hati dan perasaan orang. Pakar motivasi selalu berpesan, sekiranya kita tidak pandai menjaga hati orang, maka amat sukar untuk orang lain menjaga hati kita kelak. Kita harus ingat bahawa hidup di dunia ini bagaikan roda dan ada hukum karma. Kadang kala kita berada di atas, kadang kala kita akan berada di bawah. JIka kita melakukan sesuatu yang tidak elok, nescaya akan tiba giliran orang lain untuk melakukan sedemikian rupa kepada kita pula.

Kepada rakan-rakan, jangan buat begitu ya...=)

Sekian sahaja buat renungan sahabat...

MAHANI JAMARI

Bersama Naib Canselor UPSI

Pada 2 Mac yang lalu, saya telah menghadiri Majlis Bersama Naib Canselor UPSI iaitu Prof. Dato' Aminah Ayob. Tujuan program ini diadaka ialah untuk memberi penjelasan kepada pelajar-pelajar semester 6 dan 7 yang akan menjalani praktikum pada bulan Mei ini. Program ini saya rasakan amat baik sekali kerana info yang diberikan oleh Naib Canselor dan pihak pengurusan yang lain sangat berguna kepada pelajar-pelajar.
Walau bagaimanapun, saya agak terkilan dengan bahasa yang digunakan oleh Prof. Dato' Dr. Aminah ayob kerana beliau banyak menggunakan percampuran bahasa Melayu, Inggeris dan juga dialek utaranya. Sebagai seorang bakal guru bahasa Melayu, timbul persoalan di benakk fikiran saya, mengapakah seorang tokoh besar yang berstatus tinggi masih tidak mampu untuk berbahasa Melayu dengan baik sebaliknya bahasa Inggeris boleh pula dikuasai dengan baik. Dalam ucapannya, beliau ada menyebutkan beberapa perkataan dan ayat yang sememangnya ketara kesalahannya dalam bahasa Melayu. Antaranya ialah "Can we start the taklimat", "given the taklimat", "sila seterusnya next slide", dan "jangan worry". Selain itu, beliau juga menggunkan istilah "pensyarah berkeliaran" yang saya rasakan istilah itu memang tidak sesuai untuk ditujukan kepada pensyarah.

Kesilapan seperti ini tidak wajar dilakukan oleh seseorang yang berstatus tinggi dan menjadi model kepada orang ramai. Tambahan pula, beliau sudah menjadi ketua kepada sebuah institusi yang dahulunya terkenal dengan zaman kegemilangan tokoh-tokoh pejuang  bahasa seperti Pendeta Zaaba, Aminudin Baki dan Harun Aminurrashid. Saya yakin, sekiranya tokoh-tokoh ini masih hidup pasti mereka juga akan berasa malu dengan keadaan ini.

Tujuan saya sebenarnya bukanlah untuk memalukan mana-mana pihak tetapi apabila kita fikirkan semula ada kerelevanannya. Jika rakyat Malaysia sendiri tidak mampu untuk menggunakan bahasa Melayu dengan bagaimana kita mahu menarik ramai orang untuk mempelajari bahasa kita dan bagaimana pula bahasa Melayu mahu berkembang sekiranya orang Melayu sendiri malu untuk menuturkan bahasa sendiri dengan baik.

Sekian, 
SEKADAR RENUNGAN BERSAMA

Ahad, 6 Mac 2011

BELAJAR BERPANTUN

Assalamualaikum w.b.t dan Salam 1 Malaysia...

Pada hari ini, saya ingin berkongsi sesuatu bersama-sama dengan rakan-rakan blog sekalian mengenai pantun Melayu. Pantun merupakan salah satu bantuk kata-kata yang memberi kesan kepada pembaca atau penghasilnya. Pantun juga merupakan warisan nenek moyang kita yang harus kita pelajari dan kita teruskan penggunaannya. Seperti yang kita ketahui, pantun mempunyai pelbagai fungsi dan penggunaannya. Antaranya ialah sebagai mendium penyampaian ilmu, untuk mendidik selain digunakan dalam upacara-upacara tertentu sama ada upacara rasmi atau tidak.Selain itu, penggunaan pantun juga sinonim dengan upacara perkahwinan seperti merisik, meminang dan sebagainya. Penggunaan pantun secara meluas sebenarnya amat bermakna dan memberi gambaran identiti kepada masyarakat Melayu itu sendiri. Oleh hal yang demikian, sebagai pewaris nenek moyang, kita perlu mempelajari pantun dengan sebaiknya. 

Mungkin ramai anak-anak muda masa kini yang bertanya, "Siapa yang nak ajar aku berpantun". Sebenarnya, melalui zaman yang serba canggih ini terdapat banyak cara yang boleh kita lakukan untuk mempelajari pantun. Salah satu daripadanya ialah melalui laman sosial seperti "Facebook". "Facebook" merupakan satu laman sosial yang terkenal dan sinonim dengan masyarakat pada hari ini. Mungkin pembaca akan berasa pelik dan tertanya-tanya bagaimana laman sosial seperti ini boleh mengajar pantun. Cuba anda cari laman "Facebook" Datin Asimah. Dalam lamannya, beliau akan mengajarkan pantun kepada kita. Beliau juga akan memuat naik pantun-pantun yang dicipta sendiri olehnya. Beliau juga mengalu-alukan sesiapa sahaja yang berminat untuk belajar berpantun dan berbalas pantun dengannya melalui laman "Facebok"nya. Cuba anda klik pada pautan ini: http://www.facebook.com/profile.php?id=1055905600

Selamat berpantun..

sekian, wasalam
MAHANIJAMARI

~Kelangsungan Tatabahasa Dewan Dahulu dan Kini~

Assalamualaikum w.b.t dan salam 1 Malaysia...

Kepada semua rakan-rakan, saya berharap agar hari ini lebih ceria dari semalam...

Pada 5 Mac 2011, Persatuan Bahasa Melayu telah menganjurkan satu Program Diskusi Ilmu yang bertajuk Kelangsungan Tatabahasa Dewan Dahulu dan Kini. Program diskusi ini telah menjemput 3 orang ahli panel yang pakar dalam bidang masing-masing. Antara ahli panel yang dijemput ialah Yang Berbahagia Prof. Datuk Dr. Nik Safiah binti Karim, Encik Rusli bin Abd. Ghani dan juga Pensyarah UPSI dari Fakulti Bahasa dan Komunikasi iaitu Puan Norliza binti  Jamaluddin. Diskusi ini membincangkan sejauh manakah kemampuan Tatabahasa Dewan mampu menjadi kamus tatabahasa pegangan dalam mempelajari bahasa. Ahli panel telah memberi penjelasan dengan baik sekali dan penerangan yang diberikan sangat memberi input kepada semua peserta. Selain itu, diskusi yang dianjurkan oleh Persatuan Bahasa Melayu (PERBAYU) juga sebenarnya dilihat dapat memberikan gambaran kepada hadirin yang hadir tentang arah tuju Tatabahasa Dewan pada masa akan datang. Tatabahasa Dewan dilihat masih relevan untuk dijadikan rujukan bagi pengkaji bahasa. Segala-galanya dilihat terkandung lengkap dalam tatabahasa tersebut. Pelbagai persoalan juga ditimbulkan oleh hadirin ketika diskusi tersebut berlangsung. Semoga program sebegini terus dianjurkan pada masa akan datang supaya bahasa Melayu kekal terpelihara dan mendapat perhatian masyarakatnya.


SEKIAN, WASALAM
MAHANIJAMARI