Sabtu, 22 Januari 2011

~Wajarkah bersikap begini???~

SITUASI:
Pada hari isnin yang lalu, saya dan dua orang rakan ke bilik pensyarah bahasa Melayu di Fakulti Bahasa dan Komunikasi. Tujuan kami adalah untuk bertanya tentang tugasan individu kami. Seperti biasa, sebelum masuk ke bilik beliau kami mengetuk pintu dan memberi salam. Apabila beliau mengarahkan  kami supaya masuk, barulah kami masuk. Setelah masuk, kami duduk di atas kerusi yang disediakan. Kami berpandangan sesama sendiri kerana pensyarah tersebut langsung tidak menghiraukan kedatangan kami dan beliau asyik dengan komputer ribanya sahaja. Walaupun kami berasa sedikit berkecil hati, namun kami tidak berkata apa-apa. Selepas lebih kurang 10 minit kami duduk berdiam diri di situ, barulah beliau memulakan perbincangan.

Sepanjang perbincangan bersama dengannya, saya telah tersalah sebut perkataan "dieorang" di hadapan pensyarah tersebut. Dengan nada yang serius, beliau telah membetulkan istilah itu kepada "mereka". Saya berasa sangat malu dan bertanya di dalam hati "kenapa bakal cikgu bahasa Melayu aku tak dapat gunakan bahasa dengan betul?". Namun, saya akui kesalahan saya.

Setelah beberapa minit berlalu, pensyarah tersebut telah menerima satu panggilan telefon dari rakannya. Perbualannya telah membuatkan kami berasa terkejut kerana dalam perbualannya, beliau tidak mengamalkan kesantunan bahasa dengan baik. Beliau mengujarkan perkataan demi perkataan di hadapan kami tanpa rasa segan silu. Antara perkataan yang diujarkan beliau ialah "bapak jauh", "apa nama"(dengan loghat negeri Kedah), "hang kata nak mai umah aku",dan  "kalu dah kene sign agreement" .. ...

KOMEN:
Patutkah beliau berkata sedemikian rupa di hadapan anak didiknya? walhal beliau baru sahaja memperbaiki kata-kata anak didiknya. Di mana etika sebagai seorang pensyarah bahasa Melayu dan di mana perjuangan untuk memperkasa bahasa Melayu??

CADANGAN:
Sebagai seorang pensyarah bahasa Melayu, beliau sepatutnya menunjukkan contoh tauladan yang baik kepada anak didiknya. Hal ini kerana beliau boleh juga merupakan pejuang-pejuang bahasa Melayu. Siapa lagi yang hendak memperjuangkan bahasa Melayu, jika tidak golongan seperti mereka ini. Golongan mereka ialah pejuang bahasa dan kami pula antara yang akan meneruskan perjuangan ini.

Sekian sahaja untuk coretan hari ini..Wasalam

Tiada ulasan:

Catat Ulasan